activity poster for Kupi talk, silang budaya

Kupi talk, silang budaya

acara ini telah berakhir

Meneroka Seni Persembahan dan Seni Visual

Sebuah aktiviti bicara seni bertemakan Silang Budaya anjuran Balai Seni Lukis Sabah. Artis terkenal diundang menjadi ahli panel bicara bagi mengupas topik mengenai seni persembahan dan seni visual. Para peminat, pengiat seni dan pelajar dialu-alukan untuk hadir.


Barisan Artis

Dr. Norzizi Dato' Zulkifli

Tajuk: "Menjadi Seorang Aktor"
Masa: 3pm - 4pm

Norzizi Zulkifli memulakan kerjaya seni beliau sebagai pengacara televisyen dan pelakon.

Antara teater lakonan beliau; Itik Liar arahan Dato' Tarmimi Siregar, Tiang Seri Tegak Berlima arahan Rohani Yousoff, Demi Zaiton arahan Dato' Noordin Hassan, Bangsawan Raja Laksamana Bentan arahan Rahman B, Bangsawan Siti Zubaidah arahan Zakaria Ariffin, Mak Yong Anak Raja Gondang dan Mak Yong Raja Bongsu Sakti arahan Khatijah Awang.

Beliau kemudiannya mengorak langkah sebagai pengarah teater dan muncul sebagai pengarah termuda yang berpeluang mengarah di Istana Budaya pada 2003 melalui teater Mak Yong Raja Tangkai Hati.

Antara arahan beliau adalah Teater Muzikal Kanak-kanak Aladdin di Istana Budaya, Mak Yong Titis Sakti di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLpac), Medea di The Actors Studio, Usikan Rebab di KLpac yang membawa beliau memenangi Anugerah Pengarah Terbaik dalam BOH Cameronian Arts Award 2013. Memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di BOH Cameronian Arts Award 2018. Beliau mendapat pendidikan Diploma Teater di Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA), Sarjana Muda Seni Layar (Kepujian) Universiti Teknologi MARA, Master of Fine Art (MFA) Theatre Directing Middlesex University London dan Doktor Falsafah dari Universiti of Wollongong, Australia. Pada 2021, beliau telah di anugerahkan Kesatria Mahkota Wilayah (K.M.W) dari KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong di Istana Negara. Selain aktif sebagai seniman beliau adalah pensyarah dan merupakan Ketua Pengajian Seni Persembahan, Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA.


Bayu Utomo Radjikin

Tajuk: "Artis & Ruang Seni Independen"
Masa: 7pm - 8pm

Di dalam dunia seni halus Malaysia, nama Bayu Utomo bukanlah asing lagi. Merupakan anak kelahiran Tawau pada tahun 1969 berketurunan Jawa, mempunyai jiwa seni yang sangat mendalam. Memegang kelulusan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

Bayu boleh dikatakan antara artis yang 'lengkap', memegang kemahiran baik dari seni arca atau catan figuratif dari aliran realisme ke abstrak, sorotan utama mengenai karya Bayu, semuanya berkualiti tinggi di mana beliau pakar dan mahir dalam setiap bidang yang diceburinya.

Di awal karier, karya yang dihasilkan menjurus kepada ketegangan politik antarabangsa seperti kebuluran, peperangan dan isu sosial.
Sehingga sampai satu tahap dimana beliau merasakan subjek tersebut tidak lagi berhubung dengan dirinya.
Kini beliau lebih fokus kepada identiti peribadi / masyarakat, dramatik figuratif dan emosi manusia dengan sapuan berus yang berani beserta penggunaan warna yang minimal tetapi cukup teguh untuk membuat kenyataan secara visual dan konseptual.

Beliau juga menganggotai kumpulan seni iaitu Matahati yang ditubuhkan pada 1989 bersama empat rakan sekampusnya dengan objektif untuk berdiskusi dan bertukar fikiran dalam membentuk gagasan seni yang ideal. Selain mengadakan pameran, Matahati juga menjalankan program seperti bengkel seni, pertukaran residensi, pendidikan dan kurator.

Kini beliau menguruskan satu galeri seni halus, HOM (House of Matahati) Art Trans di Ampang iaitu sebuah independent art space yang berusaha untuk membantu dan menyokong pembangunan seni visual di Malaysia dan memudahkan rangkaian dengan rakan sejawat Asia Tenggara.


Tempahan tiket hubungi (Percuma)

088-268 748

Kongsi halaman ini

Imbas kod di bawah untuk kongsi halaman ini:

QR code for this page.

Alamat halaman telah disalin!

Penganjur acara ini

Sabah Art Gallery

Bagaimana untuk pergi ke acara ini?

Sabah Art Gallery

Mile 2, Jalan Penampang, 88000 Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.

Lihat peta